ustadz ahmad nasim abd rauf

Kepentingan Ilmu Alat Dalam Menguasai Ilmu Hadith

Banyak contoh dari begitu banyak hadith Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan tentang kelebihan ahli ilmu terutamanya ilmu agama. Untuk memahami ilmu yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. tersebut maka semestinya mempunyai peralatan untuk menguasainya. Kerana itulah setengah ulama membahagikan ilmu itu kepada dua bahagian. Pertama ilmul mabadi’ iaitu ilmu asas dan kedua ilmu maqasid iaitu ilmu yang dimaksudkan atau yang menjadi matlamat daripada mempelajari ilmu yang pertama. Seseorang itu tidak akan dapat menguasai ilmu yang kedua selagimana dia tidak menguasai ilmu pertama. Ini kerana ilmu pertama terutamanya ilmu nahu adalah merupakan mukaddimah kepada suatu yang wajib sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abdis Salam di akhir kitab Qawa’idnya iaitu, “sesungguhnya menyibukkan diri dengan ilmu nahu yang dapat ditegakkan kalamullah dengannya dan kalam Rasulnya s.a.w. adalah merupakan pendahuluan kepada suatu yang wajib, kerana memelihara syariat itu adalah suatu yang wajib yang mana ianya tidak dapat dielakkan kecuali dengannya (ilmu nahu)”.